Air Anugerah Mempergunakan Agama?

Air Anugerah dikatakan mempunyai kelebihan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Tetapi adakah ia benar ataupun sekadar satu lagi produk yang mempergunakan agama untuk melariskan penjualannya? Kita lihat huraian serta pendapat daripada saudara Syarafuddin Sulaiman ini.


Berkenaan Air Anugerah:

  1. Saya bukan pakar. Maka bacalah tulisan saya dengan sikap mahu terus mengkaji.
  2. Saya faham benar akan keperluan untuk sembuh. Juga keperluan untuk berikhtiar dengan apa sahaja cara, asalkan halal (untuk orang Islam).
  3. Yang menjadikan saya keliru dengan Air Anugerah ini adalah sumber keistimewaannya.
    • Pada awal penjualan produk ini, keistimewaan produk ini dipaparkan datang daripada bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
    • Sekiranya kita lihat pada iklan yang melibatkan molekul-molekul dan sebagainya, skripnya menggambarkan keistimewaan itu datang daripada proses melibatkan teknologi.
  4. Boleh jadi 'tertib tertentu' yang didakwa adalah gabungan antara (a) dan (b) di atas.

    Kita tidak menolak penggunaan jampi/ruqyah yang sahih di sisi Islam. Kita juga tidak menolak ada teknologi yang belum difahami sains.
  5. Tetaplah:
    • Penjual tidak boleh cuai dalam mempersembahkan fakta kepada pembeli. Apa lagi iklan itu melibatkan sains asas. Kecuaian yang terlalu asas ini menimbulkan keraguan luarbiasa soal pengetahuan penghasil produk berkenaan sains.
    • Penjual tidak boleh menggunakan kajian sedia ada secara wewenang. Ada disipin dalam menggunakan kajian orang bagi mengabsahkan produk kita. Kata-kata Dr. Warburg digunakan melebihi konteks asal beliau.
  6. Produk yang mendakwa memanfaatkan sifat alkali ada beberapa di pasaran. Antara yang dikenali adalah Kangen. Tuan puan boleh baca lebih lanjut berkenaan ini melalui kata kunci 'alkaline water' dan 'ionized water'.
  7. Sebelum ini, RO water dan mesin RO water pernah terkenal. Sekarang sudah sejuk.
  8. Dalam sains, ada satu simptom yang dinamakan sebagai placebo effect. Ada yang mendakwa penyembuhan yang berlaku hanyalah placebo effect. Saya tidak berani iyakan, ataupun tidakkan. Komen saya: Buka kepada ahli sains untuk benar-benar kaji. Biar ada peer review.

    Sebarang bahan yang didakwa mempunyai kesan perubatan perlu diuji untuk kegunaan umum kerana (a) Supaya kesan-kesannya benar-benar terpakai untuk kebanyakan manusia, bukannya sesetengah orang sahaja (b) Supaya kesan itu memang dapat dikaitkan terus dengan bahan, bukannya kerana nasib baik ataupun faktor-faktor lain (c) Supaya kesan buruknya(jika ada) dapat dikesan.
  9. Sains itu sunnatullah. Hukum alam yang ditetapkan Allah. Tidak timbul soal sains berlawan dengan agama ataupun mana yang lebih mulia. Ketidakmampuan sains memahami mukjizat sebagai contoh, kerana kelemahan manusia dalam mencangkupi ilmu Allah. Perubahan dalam dapatan sains juga bukti yang kemampuan kita ini terhad.

    Sains itu ilmu. Belajar secara berdisiplin. Petik-petik memang akan mengkomplekskan keadaan.
  10. Alangkah malu dan rugi apabila kita jadikan yang ajaib-ajaib sebagai keutamaan dalam mencapai kejayaan dunia. Sedangkan nabi kita berusaha dan menunjukkan betapa hukum dunia itu adalah perlu berusaha.

    Lebih ajaib apabila kita meminta orang lain solat hajatkan, doakan, tetapi kita tidak berdoa dan tidak bersolat. Moga Allah jauhkan.
Allah-lah yang lebih tahu.

Share on Google Plus

About Encik Petai

Jejaka kacak, hidung mancung, muka Pan Asia. Suka makan mee goreng, minum milo ais tabur dengan ayam goreng. Penebar roti canai termasyhur di negeri Pasir Berdengung.